BLOG PEMBELAJARAN NPDL (KEBUDAYAAN KEBANGSAAN SEBAGAI ALAT PERPADUAN)
KEBUDAYAAN KEBANGSAAN SEBAGAI ALAT
PERPADUAN MASYARAKAT
DISEDIAKAN OLEH: CHOONG YEN WUN
PRAKATA
Blog
ini disediakan untuk mengkaji tugasan kedua NPDL iaitu kebudayaan
kebangsaan sebagai alat perpaduan dalam masyarakat Malaysia.

Kebudayaan merupakan keseluruhan cara hidup manusia. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat
(2013), budaya didefinisikan sebagai kemajuan fikiran, akal budi, kelakuan dan
sebagainya. Ralph L. Beals dan Harry Hoijer (1956) dalam buku An Introduction
To Antropology mendefinisikan kebudayaan sebagai mengenal pasti kelakuan yang
biasa dipraktikkan dan diperolehi melalui pembelajaran oleh sesuatu kumpulan
masyarakat. Menurut Edward B. Taylor (2016) dalam bukunya Primative Culture,
kebudayaan ialah satu keseluruhan sistem yang kompleks dan di dalamnya
terkandung unsur-unsur pengetahuan, kepercayaan, seni, moral, undang-undang dan
adat istiadat. Kebangsaan pula bermaksud suatu perasaan atau semangat cinta dan
taat setia yang mendalam terhadap bangsa dan tanah air. Semangat
kebangsaan ini mendorong keazaman untuk berjuang menebus balik maruah negara
serta membentuk masa depan bangsa dan negara. Semangat cinta akan tanah
air telah menyebabkan kita berjuang membebaskan negara daripada penjajahan
British bagi membentuk negara yang merdeka dan berdaulat.
Kebudayaan dalam pengertian yang luas ialah pakaian batin yang
dilahirkan melalui proses penghayatan yang berkesan dan mendalam. Ia
dihasilkan melalui perlakuan manusia dalam pelbagai bentuk perhubungan,
penyataan fikiran, perasaan dan perbuatan, penyataan sikap, nilai-nilai yang
diyakini dan diamalkan dari semasa ke semasa sehingga mewujudkan kesejahteraan
hidup bermasyarakat yang bersatu padu dan kukuh. Di Malaysia, ia berperanan penting dalam proses pembangunan
negara, yakni kebudayaan di Malaysia harus dipupuk dalam usaha-usaha yang
dijalankan ke arah meningkatkan pembangunan sosioekonomi dan politik. Ini sudah
tentunya memerlukan penggemblengan dan penglibatan semua lapisan masyarakat
dalam satu proses yang berterusan. Bagi sebuah
negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum seperti di Malaysia, proses
pembentukan kebudayaan nasional memerlukan perancangan yang teliti dan rapi
supaya dapat melahirkan cara hidup yang dapat menjaga kepentingan bersama semua
kaum. Perancangan kebudayaan ini harus menentukan sifat-sifat yang baik, mulia
dan utama bagi pembinaan bangsa dan ketahanan negara.
Antara kesan
positif kebudayaan kebangsaan yang dipupuk terhadap masyarakat yang dapat kita
lihat adalah perpaduan yang terjalin di kalangan masyarakat berbilang kaum di
Malaysia. Bak kata pepatah Melayu ‘bulat air kerana pembentung, bulat
manusia kerana muafakat’. Hal ini dapat dilihat contohnya apabila sesuatu
majlis dianjurkan seperti majlis rumah terbuka. Penduduk setempat akan
bersama-sama bergotong-royong untuk menjayakan majlis tersebut. Tanpa budaya,
sesuatu kaum tidak mempunyai sebarang keistimewaan dan mungkin akan kehilangan
identiti kaum itu sendiri. Oleh itu, budaya dapat dilihat sebagai ‘medium’ untuk
mengekalkan identiti sesuatu kaum. Budaya juga dapat mengekalkan tradisi yang
sudah lama diamalkan oleh nenek moyang kita sejak berzaman lagi agar tidak
ditelan zaman seperti pepatah ‘tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek
panas’. Semua orang memerlukan perubahan dalam kehidupan dan budaya juga
tidak terkecuali juga. Budaya berubah sejajar mengikut kepesatan pembangunan
teknologi. Perubahan ini termasuklah apabila sesuatu budaya bergabung dengan
budaya yang lain membentuk budaya yang baru tetapi masih mengekalkan
identitinya. Perubahan ini memberi kebaikan kepada budaya itu sendiri di mana
terdapat pelbagai ilmu baru yang dapat dipelajari asalkan tidak bercanggah
dengan ajaran agama kaum masing-masing. Dengan adanya budaya, sifat
hormat-menghormati dapat ditanamkan dalam jiwa masyarakat sekali gus
mengurangkan masalah sosial yang wujud dalam masyarakat. Ini sangat penting
kerana Malaysia terdiri daripada rakyat berbilang kaum dan masing-masing
mempunyai budaya yang berlainan. Dengan adanya sifat hormat-menghormati,
masyarakat dapat hidup dengan harmoni tanpa sebarang masalah yang dapat
menggugat perpaduan yang wujud antara kaum di Malaysia.
Pada
hakikatnya, perpaduan dapat disemai melalui kebudayaan kebangsaan. Pengukuhan
perpaduan ini dilakukan dengan memperkenalkan budaya setiap kaum yang berada di
Malaysia tidak kira kaum Melayu, Cina, India atau kaum minoriti kepada seluruh
rakyat Malaysia melalui medium media massa dan media cetak. Pihak yang terlibat
untuk memperkenalkan budaya ini ialah Kementerian Penerangan,Komunikasi Dan
Kebudayaan dan dibantu oleh agensi-agensi kerajaan yang lain. Perkara ini dapat
memupuk rasa hormat dan menerima budaya serta agama kaum lain dan dapat memberi
ruang kepada semua kaum mengamalkan budaya dan agama masing-masing tanpa cuba
mempengaruhi atau mengganggu kaum lain. Bagi memperkukuhkan lagi agenda
ini, pihak kerajaan telah melaksanakan Program Merakyatkan Seni Budaya (PMS).
Program ini merupakan sebuah program di bawah seliaan Kementerian Penerangan
Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia. PMS dilaksanakan sebaik sahaja Jemaah
Menteri memutuskannya pada 26 Januari 2005. PMS diadakan atas tujuan untuk
mendekatkan masyarakat umum, khususnya masyarakat luar bandar agar lebih rapat
dengan kegiatan seni budaya. Di samping itu, untuk meningkatkan penyemarakan
seni budaya di kalangan masyarakat setempat, PMS juga menjurus kepada pemupukan
nilai-nilai murni dan semangat kerjasama serta perpaduan dalam kalangan
masyarakat.
Melihat objektif bagi pelaksanaan PMS, jelaslah bahawa
melalui kebudayaan kita dapat mengukuhkan lagi perpaduan antara kaum. Perkara
ini dapat dibuktikan lagi melalui pelaksanaan aktiviti dalam program tersebut.
Antaranya ialah Kenduri Rakyat atau Kenduri Adat yang merupakan satu bentuk
kebudayaan sesuatu masyarakat majoriti. Kenduri Rakyat diadakan bagi membentuk
kerjasama selain mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat. Ianya
dijadikan sebagai satu medium untuk melaksanakan pelbagai jenis kenduri atau
majlis rakyat yang membabitkan masakan serta adat istiadat kaum-kaum di
Malaysia. Penyediaan
makanan dalam kenduri rakyat juga melibatkan semua golongan masyarakat yang
berbilang kaum secara bersama. Selain daripada kenduri yang dianjurkan, terdapat juga
aktiviti seperti gotong-royong yang turut diwarnai dengan penglibatan generasi
muda. Kemudiannya dianjurkan pula Program Khidmat Masyarakat di mana program
ini memberi pendedahan kepada masyarakat agar mempelajari asal-usul budaya
serta tatacara kehidupan kaum-kaum di Malaysia. Sikap tolong-menolong dan kerjasama dalam melaksanakan
sesuatu perkara akan dapat meringankan beban masyarakat yang terlibat.
Perpaduan masyarakat dapat dikuatkan lagi dengan Pertandingann Kesenian dan
Kebudayaan yang disertai oleh pelbagai kaum dan di sinilah persaingan sihat
antara kaum dapat ditunjukkan sekali gus mengenali budaya kaum lain dengan
lebih mendalam. Ia juga turut membuka peluang kepada para peserta supaya lebih
kreatif dan kompetitif terhadap beberapa aspek yang dipertandingkan. Fokus
utama tertumpu kepada kemajuan dan daya usaha individu serta berkumpulan.
Pertandingan akan dapat melahirkan bakat-bakat muda tempatan yang mempunyai
potensi besar dalam bidang berkaitan seni dan budaya.
Kesimpulannya,
bagi mewujudkan identiti yang seragam, ia mestilah seiring dengan
kesanggupan pelbagai kaum untuk hidup bersama di Malaysia supaya penyeragaman
identiti dan keperibadian kebangsaan dapat dilaksanakan dengan lancar dan
berkesan. Antara kepentingan masyarakat Malaysia disatukan melalui adat dan
budaya kebangsaan adalah untuk melahirkan satu cara hidup masyarakat Malaysia
yang mempunyai pelbagai bangsa, agama, budaya dan bahasa pertuturan tetapi
dapat hidup dalam ikatan ukhwah yang begitu kukuh, berganding bahu, bertimbang
rasa dan penuh dengan sikap toleransi antara satu sama lain. Penyeragaman
identiti dan keperibadian pelbagai etnik adalah perlu supaya rakyat Malaysia
hidup bersatu padu dan mengelakkan diri daripada persengketaan serta
kucar-kacir, hal ini bermaksud identiti dan keperibadian yang seragam ini akan
membolehkan perpaduan nasional dikekalkan dengan lebih utuh lagi. Identiti dan
keperibadian kebangsaan juga penting untuk menghindarkan masyarakat daripada
melakukan perkara-perkara yang menyalahi norma-norma dan garis panduan dalam
kehidupan bermasyarakat. Budaya kebangsaan ini penting ke arah melahirkan satu
negara bangsa Malaysia yang maju dan bersatu padu tanpa ada unsur-unsur negatif
dalam kehidupan seharian. Masyarakat Malaysia yang mengamalkan kebudayaan, adat
resarn, agama dan bahasa masing-masing diharapkan dapat bersatu melalui usaha
bersama yang murni ini.
RUJUKAN
Dewan Bahasa dan Pustaka. (2013). Kamus Dewan (Edisi
ke-4). Kuala Lumpur: Pengarang.
Edward B. Taylor. (2016). Primative Culture.
New York: Dover Publications, Inc.
Nor Fazlina Abdul Rahim. (2018).
Hari Kepelbagaian
Budaya Pupuk Perpaduan. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/09/471377/hari-kepelbagaian-budaya-pupuk-perpaduan.
Nurul Anuar Kari. (2017). Luntur budaya
hilanglah identiti. https://www.utusan.com.my/rencana/utama/luntur-budaya-hilanglah-identiti-1.471015.
Program Merakyatkan Seni pupuk
masyarakat cintakan seni budaya.
(2012). https://www.theborneopost.com/2012/03/11/program-merakyatkan-seni-pupuk-masyarakat-cintakan-seni-budaya/.
Ralph L. Beals dan Harry Hoijer.
(1956). An
Intoduction To Antropology. New York: Macmillan.
Comments
Post a Comment